“Abang saya baru melangsungkan perkahwinannya pada awal Januari lalu dan semalam kami dikejutkan dengan kehilangannya,” kata Bradson Bernard, 25, adik kepada anggota polis yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Kluang-Teck Wah Heng di sini, kelmarin.
Menurut Bradson, abangnya Lans Koperal Bradford Bernard, 28, pulang ke kampung untuk berjumpa isteri dan keluarga di Penampang, Sabah serta menghabiskan cutinya di sana hampir dua minggu.
“Kemudian pada 3 Februari lalu abang kembali bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan dia ada memaklumkan pada saya dia bertugas mengawal keselamatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam.
“Dua hari sebelum kejadian saya ada berhubung dengan abang dan kami hanya bertanyakan khabar dan berbual perkara biasa saja.
“Itu adalah kali terakhir saya berhubung dengan abang sebelum mendapat berita dia maut dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui dalam majlis penghormatan terakhir mendiang abangnya di Dewan Terbuka Cawangan Pengangkutan IPD Kluang di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurut Bradson, dia bekerja sebagai pegawai kastam di Johor Bahru manakala mendiang bertugas sebagai anggota polis di Kluang.
“Kami sering berhubung dan sebelum ini jika ada masa terluang memang kami akan bertemu tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan tidak dapat berjumpa kerana kekangan tugas dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Menurut Bradson, pada malam kejadian dia dihubungi kakaknya di kampung memaklumkan mendiang terbabit dalam kemalangan maut.
Dalam kejadian jam 10.25 malam kelmarin lalu, Lans Koperal Bradford dalam perjalanan pulang ke IPD Kluang selepas selesai tugas kawalan keselamatan di kawasan PKPD di Penjara Simpang Renggam.
Bagaimanapun motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun yang disahkan berada bawah pengaruh alkohol dan maut di tempat kejadian.
Pemandu yang turut mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa.
Jenazah akan diterbangkan ke Sabah menggunakan pesawat awam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi esok. – HMetro
No comments:
Post a Comment